“Kenapa kita perlu kagum dengan setiap pemberian dan berterima kasih kepada Allah?” seorang audiens bertanya.
Ada pandangan sinis dilemparkan kepada beliau. Mungkin ada yang merasakan soalan itu terlalu asas.
Sang guru senyum tenang. Perlahan dia bangun dan mencapai mikrofon.
“Kita perlu kagum dan berterima kasih kerana Allah yang memberikan segalanya” Dia membalas pertanyaan dengan tenang.
Audiens tadi yang berumur dalam linkungan 20an bangun kembali. Masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan.
“Saya masih tak jelas. Memberikan sesuatu adalah mudah bagi Allah tetapi kenapa ianya menjadi sesuatu yang mengagumkan?” pemuda itu menyoal kembali.
“Kalau Perdana Menteri berikan anda RM 100…apa yang anda akan rasa?”Guru bertanya.
“Emm…RM100 je..takde rasa apa-apa pun” balas pemuda tadi.
“Cuba fikir balik..ini PERDANA MENTERI yang beri..PERDANA MENTERI beri anda RM100” Guru cuba menyampaikan maksudnya.
“Oh…” spontan pemuda itu membalas. Mula menangkap maksud yang hendak disampaikan.
“Fahamkan? Ianya bukan soal apa yang diberi tetapi SIAPA yang memberi. Kalau saya memberikan anda sekuntum bunga, ianya mungkin tidak bermakna. Tetapi kalau orang yang anda sayang memberikan anda sekuntum bunga yang sama, pasti reaksi anda berbeza” terang sang Guru.
Ianya bukan soal apa yang diberi tetapi SIAPA yang memberi
Pemuda itu menganggukkan kepala tanda faham dan setuju. Allah adalah pemilik alam semesta. Dia memiliki segala-galanya dan kini dia menghadiahkan salah satu nikmatnya kepada anda. Jadi adakah masih wajar untuk kita tidak bersyukur dan mengagumi pemberian itu?
Sebetulnya rasa kagum kita berkadar lansung dengan iman kita. Jika kepercayaan kita dan cinta kita terhadap Allah tidak setinggi mana, maka sukar untuk kita merasa kagum dan berterima kasih.
Analoginya masih sama, jika anda menerima hadiah dari mereka yang tidak anda kenali, anda bukan sahaja tidak merasa apa-apa malah rasa curiga lagi. Jangan-jangan ada udang di sebalik batu!
Jadi pengajaran utama daripada kisah ini adalah kita perlu menanamkan kecintaan kita terhadap Allah s.w.t. Dan untuk mencintai Allah, kita perlu mengenali Allah. Caranya adalah dengan mempelajari tentang Allah daripada mereka yang alim. Apabila kita mengenal Allah, rasa kagum dan syukur itu akan muncul dengan sendirinya sebab kita sedar yang Allah adalah Raja Alam Semesta.Wallahua’lam.
Leave a Reply