Domain adalah alamat website. Tanpa alamat, robot Google tidak akan dapat pergi ke website kita. Jadi setiap website mesti memiliki alamat.
Alamat perlu didaftarkan. Barulah boleh digunakan. Terdapat dua kategori besar domain. Satu domain umum seperti .com, .org, .net. Kedua adalah domain berdasarkan geografi seperti .com.my, org.my, .my, .gov.my.
Terdapat beberapa perbezaan antara domain umum dan domain geografi. Antaranya:
1) Pendaftaran
Domain geografi mesti didaftarkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Agensi yang menguruskan hal ini adalah mynic.my. Domain geografi memerlukan kita menghantar salinan kad pengenalan atau syarikat sebagai bukti. Hanyasanya selepas pengesahan barulah domain kita akan diluluskan.
Berbeza dengan domain umum, tidak ada salinan pengenalan diri diperlukan. Hanya beberapa maklumat seperti nama, alamat, no telefon sahaja. Terdapat banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan mendaftarkan domain. Dicadangkan untuk kita menggunakan pendaftar seperti Namecheap.com.
2) Tempoh Pengesahan
Memandangkan domain geografi perlu mendapat pengesahan dari pihak berkuasa, maka masa yang diambil untuk domain ini didaftarkan boleh mencecah sehingga 24 jam. Biasanya kita akan dihubungi menerusi email untuk memberitahu domain kita sudah diluluskan.
Domain umum pula boleh terus digunakan sebaik sahaja didaftarkan. Ini adalah kelebihan utama yang menyebabkan ramai orang gemar pilihan ini.
3) Harga
Domain geografi harganya lebih mahal berbanding domain umum. Domain geografi boleh dibeli dari RM50 hingga RM150. Manakala domain umum boleh dibeli bermula dari RM40. Pun begitu terdapat domain rebutan yang harganya melampau tinggi. Pastikan kita menyemak betul-betul harga domain sebelum pembayaran dibuat.
Apakah Kesan Domain Terhadap SEO?
Terdapat 2 mitos yang seringkali berlegar dalam hal domain dan kaitannya dengan SEO. Malah ada website yang menulis artikel khas untuk menyatakan teknik SEO menggunakan domain. Jadi sejauh manakah kesan domain terhadap SEO?
Pernahkah anda mengunjungi website yang namanya sangat panjang. Contohnya iklanfbmurah.com atau internetmarketingsecrets.com. Mengapakah website ini mempunyai nama yang panjang? Tidakkan ini menyukarkan pengguna menaip di kotak alamat?
Mitos SEO #1 – Sumbat Kata Kunci Dalam Domain
Tidak dinafikan dulu kaedah ini berkesan. Sebab itu ianya diguna pakai. Namun sekarang robot Google sudah tidak melihat kepada elemen domain semata-mata. Robot Google melihat kepada isi kandungan dalam website berkenaan dan dicampur dengan faktor-faktor lain. Barulah kedudukan diputuskan. Jadi usah risau kalau nama domain anda tidak mempunyai kata kunci.
Mitos SEO #2 – Umur Domain
Ikut resam padi, makin tunduk makin berisi. Semakin awal domain didaftarkan, semakin tinggi nilainya terhadap SEO. Suka untuk diberitahu, benar umur domain mempunyai pengaruh terhadap kedudukan kita di Google. Cuma pengaruhnya sangat kecil. Perkara yang lebih bernilai dari umur domain adalah autoriti domain tersebut.
Kesimpulan
Domain mempunyai kesan terhadap kedudukan kita di Google. Tetapi kesannya amat kecil. Apa yang lebih penting adalah autoriti domain berkenaan. Sekiranya kita menjadi rujukan dalam Internet, secara automatiknya ranking kita akan meningkat naik. Contoh domain yang berautoriti adalah Wikipedia. Jadi fokus kita dalam SEO adalah menjadi website yang berautoriti.
anuar
Info yang cukup bermanfaat.. terima kasih admin..
Lokman Hakim
Sangat bermanfaat…nice sharing tuan wanyusof