Dapatan kajian yang dijalankan oleh Content Marketing Institute mendapati 89% bisnes B2B di Amerika Selatan guna strategi Content Marketing. Malah 55% daripada jumlah ini mempunyai pasukan khas yang melaksanakan tugas ini.
Trend ini akan tiba di Malaysia. Sekarang ini kita sudah limpahan Sifu. Kesemua Sifu berkongsi maklumat. Industri menjadi bising.
Jadi bagaimanakah Tuan mahu jadi bising yang didengari? Hanya bising yang didengari diikuti.
Apabila kita bercakap tentang Content Marketing, ada beberapa salah faham.
Dek kerana salah faham ini tak diperbetulkan, akhirnya jadi kepercayaan. Kepercayaan yang karut. Ajaran sesat!
Jadi artikel ini ingin berkongsi 5 ajaran sesat Content Marketing yang terkenal.
#1 Tulis Artikel, Pelawat Baca dan Terus Beli.
Kisah indah yang dimomokkan. Tulis artikel. Orang masuk website. Baca dan terus beli!
Tulis artikel > Orang baca > Terus beli
Sungguh ini kisah kayangan. Zaman ini zaman limpahan informasi. Pelawat tak akan ambil keputusan secepat itu. Melainkan dia sudah kenal kita.
Sebab itu Rand Fishkin, founder Moz, beritahu Content Marketing adalah tentang mendapatkan kepercayaan, persamaan dan hubungan.
Proses ini ambil masa. Kuncinya pada konsistensi dalam menyampaikan.
#2 Konten Berkualiti Akan Jadi Viral
Cuba lihat kiri kanan. Ada berapa konten berkualiti di sekeliling Tuan?
Daripada jumlah itu berapakah jumlah konten berkualiti yang jadi viral?
Kualiti konten penting. Namun ianya tak menjamin viraliti. Viraliti terletak pada tribe Tuan. Tribe inilah yang akan menyebar luaskan konten.
Lihat saja page seperti Siakapkeli, Penmerah, OhMyLife, TheVocket dan banyak lagi. Berapa jumlah peminat tegar mereka? Peminat tegar inilah yang akan bantu sebarkan konten.
Strategi tribe sangat berkesan untuk pemasaran jangka panjang. Istilah Tribe Marketing dipopularkan oleh Seth Godin dalam bukunya. Tribe adalah sekelompok manusia yang berkongsi minat yang sama. Dalam tribe ada ketua.
#3 Tulis Konten Tapi Tak Sebarkan
Ini salah satu kesilapan ramai pencipta konten. Ambil masa berhari-hari tulis konten. Rujukan sana sini. Siarkan di website. Tunggu orang datang.
Apabila kita tak sebarkan, konten itu tidak ke mana. Sebagaimana kita tulis bersungguh-sungguh, sebarannya juga harus begitu.
Nasi yang disimpan di bawah tudung saji tak ada manfaat. Lama-lama akan berkulat. Jadi ambil dan edarkan kepada kawan-kawan.
Bagi menyebarkan konten, kita boleh gunakan salah satu daripada kaedah ini:
A. Broadcast menerusi email atau media sosial
B. SMS atau Whatsapp kepada kawan-kawan
C. Medium berbayar seperti iklan di Facebook
#4 Tak Peduli SEO
Apabila kita letakkan konten di media sosial, jangka hayatnya sekejap sahaja. Mungkin dalam 10 minit. Kemudian Facebook sudah tak siarkan.
Andai kita gunakan iklan (FB Ads), sebaran itu akan kekal selagi mana kita terus membayar. Jadi sebaran menerusi media sosial tak kekal lama.
Apa yang akan terus kekal adalah Google.
Apabila website kita berada di halaman pertama di Google, pelawat akan terus menerus jumpa biarpun berhari-hari sudah berlalu.
Untuk kekal di Google, artikel itu harus mesra Google. Ini disebut sebagai mesra SEO. Ini topik yang saya kupas dengan terperinci dalam Teknik SEO Sempoi.
Kelebihan artikel mesra SEO adalah ianya bekerja sendiri dalam menyebarkan konten.
Perkara yang paling asas dalam menghasilkan artikel mesra SEO adalah dengan melakukan kajian kata kunci. Tulis apa yang orang cari.
#5 Cepat Putus Asa
Apabila hadiri kursus-kursus kejayaan dan kekayaan, kita diberitahu kejayaan itu seolah-olah akan datang esok hari. Boleh berlaku. Namun biasanya tak semudah itu.
Setiap kejayaan perlukan usaha berterusan. Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya.
Content marketing ambil masa untuk berjaya. Ianya menguji sejauh mana kita mampu bertahan. Ada masa kita penat, ada masa kita bersemangat.
Seeloknya kita mempunyai pasukan dalam melaksanakan Content Marketing. Ahli pasukan saling mendorong.
Kongsi semangat dan penat. Supaya semua dapat sampai ke penghujung. Melangkah ke depan bersama-sama.
Kesimpulan
Content Marketing adalah strategi pemasaran yang sangat efektif. Namun harus kena dan betul caranya. Kaedah ini ambil masa. Hanya yang konsisten akan berjaya.
Tambahan lagi, kaedah ini tidak memerlukan kos yang tinggi. Sangat-sangat sesuai untuk bisnes permulaan.
Gabungkan Content Marketing dan Tribe Marketing. Isi dengan kuku. Bersatu lalu semakin padu. Tribe itu puak, konten itu hidangan puak.
Semoleknya kita bergerak dalam satu pasukan. Supaya setiap ahli saling membantu. Kerja berpasukan berikan kita kelebihan. Boleh pergi jauh.
happysus sait
Ada juga ajaran sesat dalam SEO. Menarik.