Pandangan mata selalu menipu.
Pandangan akal selalu tersalah.
Pandangan nafsu selalu melulu.
Pandangan hati itu yang hakiki. Kalau hati itu bersih..
Saya sangat tertarik dengan akal manusia. Penulis lirik lagu di atas cukup tajam analisa dan pengalamannya. Percaya atau tidak keputusan akal kita sering tersalah. Terutamanya dalam aspek pembelian.
Saya ingin berkongsi bagaimana akal manusia diekploitasi oleh jurujual untuk membuat jualan dan bagaimana anda boleh mengelakkannya.
1. Ilusi Jubah Cantik
Ilusi ini terbentuk apabila seseorang itu keliru antara faktor dan hasil. Apabila seseorang ternampak iklan jubah yang cantik, pandangan mereka sebenarnya fokus kepada model yang memakai jubah itu iaitu HASIL. Tetapi produk yang akan mereka beli adalah jubah sahaja bukan model itu.
Teknik ilusi ini sangat efektif dan digunakan oleh hampir semua orang. Pelanggan dikelirukan dengan hasil sedangkan faktor-faktor lain yang mendorong kepada hasil itu tidak diambil kira.
Contoh lain adalah dalam iklan produk makanan seperti kiub ayam. Dalam iklan kiub ayam, yang ditunjukkan adalah sup ayam yang sedap iaitu HASIL. Sedangkan dalam proses memasak sup, bukan hanya kiub yang menjadi penentu rasa sedap itu, ada bahan lain yang memainkan peranan.
Robert Dobelli dalam bukunya ‘The Art of Thinking Clearly’ menamakan fenomena seperti ini sebagai The Swimmer’s Illusion.
Menurut Dobelli, jika kaedah ini tidak digunakan dalam pengiklanan, hampir separuh iklan tidak akan berfungsi dan efektif!
2. Barang Yang Terhad
Ilusi Juba Ajaib biasanya akan dibantu oleh satu lagi elemen untuk mempercepatkan proses memukau audiens. Elemen itu adalah terhad ataupun ‘scarcity’.
Contoh penggunaan elemen ini adalah dengan mengehadkan tarikh promosi pada waktu tertentu. Ini menyebabkan pelanggan resah dan gelisah. Mereka akan merasa rugi jika tidak mengambil tindakan segera. Akibatnya belian terus dibuat secara impulsif.
3. The Buyer’s Stockholm Syndrome
Dan untuk memburukkan lagi keadaan, akal kita sering kali terdedah kepada The Buyer’s Stockholm Syndrome. Maksud lain kepada istilah ini adalah justifikasi dan rasionalisasi selepas pembelian.
Seringkali kita rasa menyesal selepas membuat sesuatu pembelian atas pelbagai faktor. Oleh itu jiwa kita kacau dan rasa tidak tenteram. Maka kita akan mencipta alasan untuk menyokong tindakan kita supaya kita berasa tenang.
Kesimpulannya, saya tidak mengatakan anda tidak boleh membuat keputusan menggunakan akal, cuma anda perlu berhati-hati. Akal senang dieksploitasi. Jadi jangan biarkan anda menjadi mangsa iklan seterusnya.
Leave a Reply